Puasa - Rukun Islam Ke 3
Umat Islam kini telah mula berpuasa bagi menunaikan Rukun Islam yang ke tiga. Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat yang lain, kerana kesannya tidak terlibat secara zahir sahaja. Ia lebih merupakan amalan dalaman yang tersirat di dalam diri seseorang, malah berupaya memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan insan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan bagi kamu berpuasa sebagaimana dituliskan bagi orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)” (2:183).Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa. Mereka berpuasa bukan sahaja didorong oleh agama tetapi juga kerana beberapa tujuan tertentu. Pelbagai sudut kepercayaan yang diikuti oleh pelbagai agama di dunia ini mengenai puasa.
Bermula dengan masyarakat Greek yang dikatakan mengetahui mengenai puasa daripada orang Mesir purba. Mereka berpuasa sejurus sebelum mereka pergi berperang. Orang Rome yang mengikuti jejak langkah orang Greek juga berpuasa, terutamanya apabila diserang oleh musuh, untuk memperoleh kemenangan. Mereka percaya amalan puasa menguatkan mereka dan mengajar mereka kesabaran dan ketahanan, iaitu dua nilai yang diperlukan untuk kejayaan dalam perjuangan melawan nafsu batin mahupun musuh yang lahir.
Berbeza pula dengan kepercayaan Hellensitik purba, Tuhan-tuhan mereka dipercayai menyampaikan wahyu dalam mimpi dan visi hanya selepas berpuasa dengan penuh ikhlas, malah masyarakat dayak di Amerika Utara juga turut mengamalkan puasa sebelum atau sedang dalam ikhtiar mendapatkan visi.
Puasa juga dilakukan kerana sesuatu sambutan yang dianggap suci. Golongan paderi di kalangan kaum dayak Pueblo di Barat-Daya Amerika berpuasa semasa mereka menyendiri sebelum upacara utama yang berkaitan dengan pertukaran musim.
Di negara China, mereka lazimnya berpuasa pada suatu jangka masa yang ditentukan sebelum melakukan sesuatu pengorbanan pada malam solstis musim sejuk iaitu ketika kuasa Yang (kuasa positif) dipercayai memulakan kitaran barunya. Amalan in telah diberhentikan pada tahun 1949.
Dalam adat Mesir dan Babylon purba pula, mereka menganggap amalan puasa sebagai satu cara untuk menebus dosa berserta tindakan lain yang menunjukkan kesedihan atas salah laku. Ini kemudiannya diikuti oleh bangsa-bangsa lain yang menyifatkan puasa sebagai satu cara untuk menebus kesilapan dan dosa, lantas menghindarkan mereka daripada kemurkaan tuhan-tuhan.
Beberapa puak di Peru pula sebelum zaman Columbus juga menganggap puasa sebagai satu daripada syarat untuk menebus dosa setelah individu membuat pengakuan di hadapan paderi. Dalam banyak kebudayaan amalan itu difikirkan sebagai suatu cara untuk meredakan kemarahan dewa atau sebagai suatu usaha yang boleh menolong untuk menghidupkan semula dewa yang sudah mati, seperti dewa tanaman.
Walaupun puasa secara formal tidak dititikberatkan dalam Perjanjian Baru (New Testament) daripada kitab Bible (bukan Injil), ia akhirnya menjadi amalan zahid penghuni padang pasir dan biarawan lelaki dan perempuan yang melihatnya sebagai suatu langkah yang perlu untuk membebaskan jiwa daripada keinginan dan ikatan duniawi.
Namun, secara beransur-ansur amalan puasa yang bermusim dalam tradisi agama Kristian telah diwujudkan, seperti tempoh Lent, iaitu 40 hari sebelum Easter untuk insaf, dan hari-hari Rogation semasa musim bunga untuk merayu mendapatkan hasil tanaman yang baik, dan hari-hari Ember, iaitu masa untuk sembahyang dan puasa dalam setiap musim setahun. Terdapat juga puasa mingguan pada hari Rabu dan Jumaat, dan puasa sebelum meraikan upacara penting dalam kehidupan seseorang seperti baptism, upacara pentahbisan (untuk menjadi paderi), kemasukan dalam golongan kesatria (knighthood), dan sambutan Eucharist.
Oleh kerana perkembangan yang pesat dalam pergerakan zahid pada abad pertama dan kedua, amalan puasa menjadi suatu cara penting untuk menanggalkan badan daripada ikatan amalan kebendaan dan keseronokan, lalu membolehkan individu mencapai darjat tinggi yang baik dan mendekatkan dengan roh suci. Walau pun demikian, para biarawan diberi amaran supaya menjauhkan berpuasa dengan melampau yang boleh memudaratkan badan dan roh.
Selain mengamalkan puasa 40 hari dalam tempoh Lent, mazhab Roman Katholik dan Ortodoks Timur berpuasa semasa Advent, iaitu suatu jangka masa untuk bertaubat sebelum Krismas. Di kalangan Roman Katholik amalan itu telah diubah sejak Kaunsel Vatican yang kedua (1962-65) untuk mengizinkan individu membuat pilihan yang lebih luas, dengan berpuasa wajib hanya pada hari Ash Wednesday dan Good Friday semasa Lent. Gereja Ortodoks Greek pula telah menghapuskan puasa yang tegar sementara gereja-gereja Protestant umumnya memberi pilihan kepada ahli masing-masing untuk membuat keputusan sendiri mengenai amalan puasa.
Kitab Hindu juga ada menyebut mengenai seorang wali zaman purba bernama Dadhichi yang berpuasa dan melakukan meditasi selama beberapa tahun. Dia melakukannya sambil duduk dengan tidak mengubah kedudukannya. Apabila dia dijumpai hanya tulangnya sahaja yang tinggal dan dia disaluti lumpur berbentuk seperti sebuah busut. Brahma, pencipta alam semesta, dan golongan Asura telah mengambil tulang-tulangnya lalu dibuat senjata daripadanya untuk melawan musuh mereka iaitu golongan Sura. Asura menang dalam peperangan ini.
Begitu tinggi sekali darjat diberi kepada Dadhichi yang berpuasa. Di India orang-orang Hindu yang dianggap suci (sadhu) dikagumi kerana mereka selalu berpuasa secara peribadi atas pelbagai sebab. Orang zahid Hindu dan Jain berpuasa ketika dalam haji dan semasa bersedia untuk perayaan-perayaan agama tertentu.
Sami Buddha daripada mazhab Theravada berpuasa pada hari-hari suci (uposatha) pada setiap bulan sementara dalam agama orang Cina klasik, puasa diamalkan sebelum masa untuk mereka berkorban. Walaupun Buddha mengajar kesederhanaan dalam puasa, ramai sami Buddha lelaki dan perempuan berpegang teguh kepada adat makan hanya sekali sehari, dan mereka dikehendaki berpuasa pada hari bulan baru atau bulan penuh. Di kalangan penganut Buddha hari ini adalah lazim bagi mereka berpuasa dan membuat pengakuan atas dosa yang dilakukan sebanyak empat kali sebulan. Mereka percaya puasa adalah satu daripada 13 amalan yang membawa kepada kehidupan yang gembira di samping menjadi alat untuk menyucikan diri.
Jika agama lain turut memandang tinggi kesucian berpuasa apatah lagi umat Islam di setiap pelusok dunia. Begitulah seharusnya hati orang Mukmin tatkala berhadapan dengan persoalan hidup. Berpuasa bererti kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana Allah s.w.t, bukan kerana perkara yang lain. Jika ini dapat dilatih, dibiasakan selama sebulan, ertinya kita membuat latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung kesusahan kerana Allah s.w.t.
Dengan tunduk dan patuh kepada kehendak Allah, maka segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan dan kemahuan Allah. Jika ujian berupa nikmat, kita pasti bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau berupa kesusahan, kita bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.
* Sumber dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Puan CM,
ReplyDeleteInformatif.
Suatu ketika dahulu Guru silat keturunan Jawa di kampung saya mensyaratkan puasa sehari & bertapa di perigi buta sebagai acara ritual tamat pengajian persilatan.
Diceritakan anak muridnya boleh tahan berpuasa tetapi tidak tahan bertapa di perigi buta. Kononnya, ramai yang lari.
Tuan UK,
ReplyDeleteAgaknya apa yang menyebabkan mereka lari ye? hehehe ...