Home » , » PULAU BESAR, MELAKA - Anak Siapa?

PULAU BESAR, MELAKA - Anak Siapa?

Written By Cinta Menora on Wednesday, July 3, 2013 | 7/03/2013 06:05:00 PM

Berbalik pada kisah kanak-kanak perempuan yang aku jumpa di pintu masuk D'Puteri Cafe semasa aku berada di Pulau Besar di dalam posting sebelumnya.

Aku tak perasan dari mana datangnya kanak-kanak tersebut tapi semasa aku hendak melangkah masuk, aku bertembung dengannya yang datang meluru ke arah aku. Dia seolah-olah berkata sesuatu sambil tersenyum. Aku balas senyumannya, cuma tak pasti samada dia bercakap dengan aku atau dengan orang lain. Semasa kami bertembung, dia mencuit lengan aku sambil memperkatakan sesuatu yang tidak dapat aku tangkap butir-butirnya. Aku berpaling ke belakang dan mengikuti pergerakannya dengan tanda tanya tapi kanak-kanak itu hanya tersenyum sambil bergerak pantas ke arah makam. Dia kelihatan berseorangan walaupun dia berjalan mengikuti beberapa orang India Muslim yang juga menuju ke arah makam.

Aku tanya en suami samada dia perasan kanak-kanak tersebut tapi kata en suami, dia tidak pula perasan. "Laa tak nampak ke budak perempuan tadi, pakai tudung purple, jubah maroon, kecik aje budaknya ... dengar tak dia cakap apa?" "Entah", balas en suami acuh tak acuh. OK lah, aku cuba singkirkan kanak-kanak itu dari ingatan ....

Selepas check-out keesokan harinya, kami meletakkan beg-beg kami di tempat duduk berhadapan makam. Semasa aku berseorangan sementara menunggu en suami yang bersolat zohor di surau sebelah makam, aku disapa oleh satu suara kanak-kanak, "auntie tak makan free kat wakaf ke?" Aku yang leka melihat gambar-gambar yang aku ambil menggunakan handphone terus mengangkat kepala. Oh, ini dia budak semalam!!

"Tak", jawab aku sambil memandang ke arah wakaf tapi takde pun makan free di situ.

Dia yang membaca reaksi aku terus berkata, "bukan kat situ, auntie ... kat wakaf sebelah sana", sambil tangannya menunjuk ke arah wakaf yang terletak di bekas tapak makam 7 beradik. "Lauk ayam tau", tambahnya lagi.

Aku membetulkan duduk sambil menunjukkan minat untuk berbual dengannya. "Sedap ke?" "Tentulah sedap", jawabnya sambil matanya memandang pada handphone di tangan aku. "Auntie buat apa tu?" "Takde apa-apa, auntie tengok gambar-gambar ni jer", sambil perlihatkan padanya sepintas lalu gambar di screen handphone aku.

"Awak datang dengan siapa?" soal aku ingin tahu.

"Dengan ayah", jawabnya sambil mata masih memandang pada handphone di tangan aku.

"Mana ayah awak?" mata aku memandang sekeliling.

"Tuu ..." bibirnya dijuihkan ke arah pantai. Emmm aku tak nampak sesiapa pun ... dan dia pun macam tak berminat dengan soalan aku.

"Mak mana?" tanya aku. "Entah", sambil mengangkat bahunya.

"Mak awak mana?" tanya aku lagi. "Dah bercerai", jawabnya selamba.

"Ooh ... awak dari mana?" "Dari Sentul", jawabnya sambil duduk di antara beg-beg yang aku letakkan di atas bangku. "Sentul, KL?" aku inginkan kepastian. "Ye lah", jawabnya.

"Bila awak sampai sini?" rasa ingin tahu aku begitu memuncak. "Errr ... ntah lah".

"Laa ... tak kan tak tahu bila sampai sini. Semalam? 2 hari lepas? Minggu lepas?"

"Tak semalam ... mungkin dah 3 hari kot", selamba aje jawabnya.

"Habis tu, bila nak balik Sentul?"

"Tak tahu lagi, mungkin ayah nak tinggal terus kat sini".

"Eh, kenapa pulak? Minggu depan kan dah buka sekolah. Awak tak sekolah ke?"

"Ayah kata, kalau tinggal sini, saya berhenti sekolah".

Ishh! Ni yang aku tak suka dengar. Apa pulak kena berhenti sekolah! "Awak darjah berapa?"

"Darjah 3. Kalau tahun ni sekolah, saya darjah 4".

"Maknanya sekarang ni awak memang dah tak sekolah lah ye", aku inginkan kepastian. Dia tidak menjawab tapi hanya menundukkan muka sambil matanya masih memandang pada handphone aku.

"Awak tidur kat mana?" aku ingin mengalihkan perhatiannya dari handphone aku. "Kat surau", jawabnya sambil tangannya mencapai bekas Ridsect yang terkeluar sedikit dari beg sandang en suami. "Eh, janganlah usik. Nanti uncle marah", kata aku sedikit geram. "Kat surau?", sambil tangan aku menunjuk ke arah surau. "Ada bantal ke kat surau tu?" "Laa ... kat surau mana ada bantal, apalah auntie ni". Adusss ... terkena jugak aku dengan budak ni.

kawasan makam pulau besar melaka
Di sinilah aku duduk berbual dengan kanak-kanak tersebut

Tanpa memperdulikan teguran aku, dia terus mengeluarkan tin Ridsect sambil menghalakan muncung spray ke arah orang yang lalu lalang di hadapan kami. Dengan pantas aku merampas tin Ridsect tersebut dan terus menyimpannya ke dalam beg. Dia cuba mengeluarkan semula tapi aku pegang penutup beg kemas-kemas supaya dia tidak boleh membukanya. Kali ini aku mula rasa agak marah. Kemudian dia berdiri di hadapan aku dan cuba menarik handphone dari tangan aku. Nasib baik handphone itu aku genggam kuat. "Alaa auntie ni, pinjamlah kejap". "Nak buat apa?" tanya aku agak cuak dengan tindakannya. "Nak main game, boringlah", jawabnya sambil cuba menarik semula handphone tersebut.

Aku mula rasa rimas. Aku terus simpan handphone di dalam beg dan aku pegang kemas-kemas handbag aku. "Pinjamlah, auntie ... saya nak main game aje". "Kat handphone auntie takde game lah", kali ini aku amat berharap agar kanak-kanak ini akan beredar tapi dia masih berdiri di hadapan aku dengan wajah bosan sambil menjuihkan bibirnya. Kemudian dia menegur seorang lelaki India yang lalu di situ dan mereka bersoal jawab tentang lauk yang dimasak di wakaf.

Bila dia berpaling semula ke arah aku, aku terus bertanya, "Nama awak siapa?" Soalan aku nampaknya mengalih perhatiannya. "Puteri", jawabnya. "Puteri? Puteri apa? Puteri raja ke?" aku cuba berseloroh. "Puteri aje. Saya orang Pahang tau", katanya sambil menarik batu kecil yang melekat di tapak seliparnya.

"Eh, tadi awak kata awak orang Sentul. Macamana pulak sekarang jadi orang Pahang?"

Dia diam, seolah malas menjawab pertanyaan aku. "Pakcik kata, mak saya dah pindah. Tapi saya tak jumpa pun emak saya".

"Pakcik? Pakcik mana pulak ni?" aku dah mula keliru. "Alaaa adalah pakcik tuuu", jawabnya. Dan di ketika itu suami aku muncul. "Suami auntie ke ni?" tanyanya. "Aa aah", dia terus diam dan kelihatan agak malu bila suami aku mendekat. Aku nampak en suami menghulurkan wang padanya. Dia mengambil wang tersebut tanpa memandang pada suami ku dan terus beredar dengan pantas dari situ. Aku mencari-cari kelibatnya tapi tidak kelihatan. Pada en suami, aku ceritakan perbualan aku dengan kanak-kanak tersebut dan ditanya en suami, "ada ambil gambar budak tu?" Laa aku tak teringat langsung untuk merakamkan gambarnya.

Sepanjang perjalanan ke jeti, aku asyik memikirkan kanak-kanak tersebut. Ada masa, aku seolah-olah terlihat kelibatnya. Berbagai persoalan bermain di fikiran ... Siapa budak tu? Siapa bapa dia? Di mana bapa dia? Kenapa dia tidak bersekolah? Apa sebenarnya yang telah terjadi padanya, pada bapanya, pada ibunya? Apa yang akan terjadi padanya? Ya Allah, aku serahkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan Engkau, peliharalah dia dan lindungilah dia ... ameen.

Share this article :

8 comments:

  1. Puan CM,

    Setelah membaca entry ini, mungkin jawapan saya mengenai Masjid Rahmania (Masjid India) di Bahau tidak menepati persoalan yang bermain-main di minda Puan CM.

    Foto itu diambil ketika hendak masuk waktu maghrib.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam saudara UK,

      Saya cuba masuk balik ke blog Bahau tapi tidak boleh dibuka ...

      Delete
  2. Puan Cinta Menora,

    Salam. Bila ayah dan ibu berpisah atau bercerai, anak-anak menjadi mangsa. Mangsa keadaan. Kehidupan mereka selalu terbiar. Walaupun tidak semua,tetapi kebanyakan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Pak Mail,

      Ya, kebiasaannya begitu. Kasihan pada kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan. Mereka ini sebenarnya kanak-kanak yang pintar dan pandai membawa diri sendiri. Moga mereka berada di dalam peliharaan Allah ...

      Delete
  3. Kali pertama saya baca blog awak... saya agak kurang bersetuju dengan idea2 awak...
    tapi setelah berkali2 baca... saya dah mula faham... saya minta maaf sbb
    buruk sangka dengan awak selama nie...

    my homepage ... Tips Menjahit Baju Kurung

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aduss ... saya maafkan, ho hal. Cuma saya nak juga tahu buruk sangka yang macamana tu ... Masing-masing kita ada idea tersendiri dan ianya terlalu subjektif. Mungkin boleh diberi sedikit pencerahan ...

      Delete
  4. Sis, kelmarin sis ade bgitau yg ade pakcik tolong bawa sis jalan2 pusing kat pulau besar kan? Masih ade contact no pakcik tu ke?

    ReplyDelete

Kalau digumpal sekecil kuku, kalau dibentang selebar alam, walau sebesar biji labu, bumi dan langit ada di dalam ....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : Bila Cindaku Menulis | Abjad Rumi Ke 13 | Mencari Identiti
Copyright © 2013. Bila Cindaku Menulis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger