Monday, September 30, 2013

Bila Hantu Beraya ....

Sudah sebulan lebih Ramadhan berlalu namun kemeriahan dan kenangan beraya bersama rakan-rakan Sekolah EMGEE masih lagi tidak dapat aku lupakan. Masih terngiang-ngiang deraian ketawa kami apabila bercerita tentang kisah-kisah silam zaman persekolahan 30 tahun yang lampau.

Perjumpaan kami secara "impromtu" dilakukan apabila kami menerima khabar bahawa rakan kami, Dina, telah dimasukkan ke hospital kerana sakit dalam perut di bahagian pankreas. Rancangan kami untuk melawat Dina di rumah diatur apabila beliau sudah agak sihat dan bersedia untuk menerima kunjungan kami. Dan untuk tidak menyusahkan beliau, kami menawarkan diri untuk menyediakan makanan secara potluck. Mulalah kami berwhatsapp sesama sendiri untuk mengetahui siapa yang akan hadir, bagaimana untuk ke sana, juga menu yang akan dibawa. Yang menggelikan hati, menu-menu yang kami pilih lebih kepada selera kami sendiri. Terlupa pula pada orang sakit yang perlu menjaga pemakanannya ... :)

Hari Sabtu 24 Ogos 2013 jam 12:00 tengahari - itulah tarikh dan waktu yang telah ditetapkan untuk perjumpaan kami ini. Kebetulan minggu itu En Suami berada di Jitra atas urusan kerja jadi aku mempelawa dua orang rakan aku yang datang dari Melaka untuk bermalam di rumah pada hari Jumaat. Dan malam itu, riuh-rendah rumah aku yang biasanya sunyi, ditambah lagi dengan kehadiran rakan anak perempuanku.

Perbualan kami berkisar tentang kisah di zaman persekolahan, sehinggalah apa yang kami lalui sekarang. Kadang-kadang kami bergelak ketawa, kadang-kadang kami agak serius bercerita. Kebetulan jiran baik aku juga datang bertamu, bertambahlah modal cerita kami. Jam 12 malam, jiran aku bermohon diri untuk pulang dan kami pun menghantarnya hingga ke simpang jalan sambil bersiar-siar melihat bulan bintang dan merasakan kedinginan malam. Sempat juga rakan-rakan aku berposing di depan rumah untuk gambar kenang-kenangan.


bila hantu beraya
Kawan-kawan aku, si M8 dan Enab. Cun kan ...?

Gambar-gambar ini diambil dari kamera phone si M8. Aku rasa cahaya yang bulat-bulat itu datangnya dari lampu jalan, tak pun dari cahaya bulan (ada ke ..?)

bila hantu beraya
M8 dan Enab ... dan ..??

Jeng jeng jeng ... apa yang korang nampak? Kalau tak nampak, bagus lah. Pada yang tahu tu, diam-diam aje lah ye. Apa-apa pun, gambar ini menyebabkan kami membatalkan niat untuk terus melepak di luar dan menyambung perbualan kami di dalam rumah sehinggalah ke 5 pagi.

Aku hanya dapat melelapkan mata selepas solat subuh dan terjaga bila dikejutkan dengan panggilan telefon dari Enab. Kata Enab, "aku tak dapat tidur, anak beruang tu berdengkur kuat ..." Oh lupa nak bagi tahu, rumah aku betul-betul kat belakang zoo ... hahahaha.

Aku, M8 dan Enab telah merancang untuk membawa soto dan nasi impit ke rumah Dina. Dan kerana aku pasti yang kami akan kesiangan, aku dah tempah soto awal-awal dari jiran aku. Tak lah kelam-kabut kami nanti. Bagaimanapun, kami tetap juga lambat bertolak dari rumah kerana leka berbual. Berterabur jugalah masing-masing bersiap-siap setelah diberitahu ada rakan-rakan yang telah tiba di rumah Dina. Dah lah jalan ke rumah Dina pun kami tak pasti lagi. Aku suruh M8 jadi co-pilot, Enab duduk di belakang dengan anak aku dan kawannya. Beberapa kali juga aku ingatkan M8, "Ko tengok betul-betul exit dari MRR II ni, jangan sampai terlepas pulak. Kalau dah terlepas, payah nak patah balik. Kalau sesat di kawasan perumahan rumah Dina, takpe lah jugak. Boleh kita pusing dan berpatah balik. Tapi kalau terlepas exit kat highway ni, alamatnya, aku hantar korang terus balik Melaka."

Dipendekkan cerita, kami pun sampailah di kawasan perumahan Suadamai. Berdasarkan pelan yang diberi, si M8 dengan konfidennya menunjukkan arah jalan ke rumah Dina sambil kami mencari-cari rumah bernombor 42. OK, senanglah pulak kami jumpa rumahnya. Aku pun dengan konfidennya mengarahkan muncung kereta aku "yang tak berapa nak baru lagi" ini betul-betul di hadapan pagar rumah 42, siap menyendeng lagi masuk ke dalam kawasan rumah. Selepas mematikan enjin kereta, masing-masing pun keluar dengan konfidennya dan terus ke boot kereta untuk mengeluarkan barang makanan yang kami bawa bersama. M8 menjinjing flask besar berisi kuah soto. Enab pula menjinjing beg pakaiannya dan plastik besar berisi rencah-rencah soto. Anak aku pula membawa plastik berisi kek caramel yang telah dikirim oleh seorang rakan lain yang tidak dapat hadir, manakala kawan anak aku, Rose, menjinjing plastik yang berisi nasi impit serta segala jajan-jajannya.

Elok saja aku menutup boot kereta, aku terdengar deraian ketawa dari Enab dan M8 dan aku melihat mereka berpatah balik ke kereta. "Weiii ... salah rumah daa," kata Enab dengan wajah merah padam menahan malu. Aku lihat sepasang suami-isteri keluar dari pintu rumah menuju ke arah kereta aku sambil tersenyum (mungkin menahan ketawa). Alamak! Macamana boleh salah rumah? Aku keluarkan pelan yang aku print dari whatsapp, aku tunjukkan pada pasangan tersebut. "Ini salah lorong. Kena keluar balik ke jalan besar. Masuk kiri nanti jumpa petrol pam, depan sikit jumpa sekolah, jalan terus nanti nampak simpang kiri, ambil simpang tu ..." Kan dah kena, padan muka aku!! Tadi sedap mulut kata, "kalau sesat kat kawasan perumahan takpe, boleh patah balik". Memang kena patah baliklah ni ..!! Adusss ....

Kami minta maaf banyak-banyak pada pasangan tersebut. Sempat aku bertanya nama si isteri - Laila. Cantik namanya, semanis dan selembut orangnya. Maafkan kami yang terlebih konfiden parking kereta di dalam kawasan rumah, terjerit-jerit keseronokan bagi salam dari luar rumah, si Enab dan M8 sempat masuk lagi ke dalam rumah. Dah lah tu, kami datang dengan menjinjing flask besar berisi makanan tapi tak terfikir langsung nak berkongsi makanan dengan tuan rumah tersebut. Teringat kata-kata tuan rumah, "Tetamu datang bawa rezeki." Alahaiii ..!!!

Dan di dalam kereta, kami ketawa terbahak-bahak ...

Setiba di rumah Dina, kami "dikutuk" bertubi-tubi sebab lambat sampai. Rakan-rakan lain sudah kelaparan menunggu soto kami. Riuh-rendah rumah Dina dengan acara sesi ramah-mesra di antara rakan-rakan yang belum pernah berjumpa sebelum ini. Selesai sesi ramah-mesra, kami yang memang sudah kelaparan, mula menjamu selera. Ketika ini lah aku, Enab dan M8 bercerita tentang pengalaman kami, dari malam Enab dan M8 sampai ke rumah aku sehinggalah ke kisah kami tersalah rumah. Rumah Dina dah jadi macam pasar dengan celoteh kami yang tidak henti-henti. Entah apa agaknya yang difikirkan suami Dina bila melihat gelagat kami, kan? Dina pun kelihatan bertambah sihat walaupun pergerakannya agak terbatas. Ngeri kami tenguk bahagian perut dan belakang Dina yang bertebuk. Dan kami tumpang seronok melihat keceriaan yang terpancar di wajah Dina dengan kehadiran kami. Moga Dina cepat sembuh seperti sedia kala ... ameen.

Seperti biasa, setiap kali perjumpaan, pasti ada sesi fotografi ...

Dari kiri : Yati, Dina dan Zila

Dari kiri : Saadah, Shima, Mar, Enab, M8, Dina, Yati, Zila dan ehem ehem ... yang duduk tu terperasanlah pulak macam Maya Karin (ok ok, kakak Maya Karin) ... huhu

Ini memang betul-betul hantu pergi beraya ....


7 comments:

  1. cinta menora,

    ..di belakang gambar yg kedua tu ..ada orang ketiga ke?..hehe

    Bertemu semula rakan lama sentiasa akan menghiburkan orang orang lama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. olrascal,

      agaknya dia pun nak tumpang sekaki ... dah lama dia tak jumpa geng lama yang mungkin lebih hantu dari dia ... hahaha

      Delete
  2. Puan CM,

    Semua yang masih 'cun' ni belum bercucu lagi agaknya ya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Pak Mail,

      Yang cun2 dalam gambar ini belum bercucu lagi tapi ura2 untuk terima menantu sudah ada. Ada rakan kami yg sudah bercucu cuma mereka tidak dapat menghadirkan diri kerana sibuk menjaga cucu ... hehehe

      Delete
    2. kak,apa tu kak...salah mata sy tgok ka,atau mmg yg sy pkiaq?ka,kt tembok rumah blkg tu cm ada corak yg buat sy nampak mcm yg sy pkiaq??haihhhh..klu sy mau demam...

      Delete
    3. ish...2 3 kali sy tgok.sy takleh trima la gmbq ni kak.....seram lak rasa

      Delete
    4. Sue,

      jangan tenung lama2 haa ... awak tu mengandung. kemungkinan itu background dari tembok rumah. alaa kalau dia nak join pun, apa salahnya. teringin jugak dia nak posing depan kamera ... huhu

      Delete

Kalau digumpal sekecil kuku, kalau dibentang selebar alam, walau sebesar biji labu, bumi dan langit ada di dalam ....