Thursday, June 6, 2013

Ada Hikmahnya Di Sebalik Setiap Kejadian

Minggu lepas, sekali lagi aku terlibat dengan majlis kahwin anak buah encik suami. Majlis ini lanjutan dari majlis kahwin sebelah perempuan di Kg Temau, Hulu Dong dari posting aku yang terdahulu "Dari Melaka ke Negeri Pahang".

Majlis sebelah pihak lelaki diadakan pada hari Sabtu, 1 Jun 2013 (sama dengan tarikh ulangtahun perkahwinan aku) di rumah tinggalan arwah ibu dan bapa mertuaku di Merlimau, Melaka. Malam sebelumnya iaitu Jumaat malam, diadakan majlis resepsi untuk keluarga terdekat sempena menyambut ketibaan rombongan dari Pahang. Dikhabarkan majlis berlangsung dalam hujan lebat tetapi cukup meriah sambil diselang-seli dengan nyanyian karaoke dari "penyanyi-penyanyi jemputan".

Aku, suami dan anak perempuanku tidak turut serta pada malam itu kerana kami terperangkap dalam kesesakan jalanraya yang luarbiasa. Kami keluar rumah sekitar jam 9 malam dan tiba di Merlimau hampir jam 2 pagi. Nak dijadikan cerita, kereta en suami tiba-tiba mati enjin di tengah-tengah kesesakan jalan di MRR II selepas 20 minit kami keluar dari rumah. Ooh! Kami juga turut menyumbang pada kesesakan yang sedia ada ...!!

Gambar hiasan dari www.froyoplus.com

Suami aku nampak panik, terus keluar dari kereta dan cuba menolak kereta ke tepi tapi kereta tidak bergerak langsung. Lantas aku disuruh keluar untuk sama-sama menolak kereta. Errr aku kena tolak kereta? Adusss ... malu rasanya nak tunjukkan muka tapi aku terpaksa juga keluar. Kecut perut aku bila berdiri di tengah-tengah kesesakan dengan motor yang lalu mencelah-celah. Aku tahan van di belakang supaya memberikan laluan pada kami. Dua orang anak muda berbangsa Melayu dengan lajunya keluar dari van terus menuju ke kereta kami. Aku agak cemas, teringat kes-kes di mana ada orang yang mengambil kesempatan mencuri, meragut ataupun kes tarik kereta yang selalu terjadi. Tapi aku silap (jahat betul fikiran aku), mereka datang untuk membantu. Mereka cuba memaut stering kereta ke kiri tapi stering telah terkunci, tidak boleh dipusing langsung. Jadi kereta terpaksa ditolak ke depan sambil cuba mengambil side sebelah kiri. Kawan mereka yang memandu van mengekori kereta kami dari belakang dengan lampu hazard dipasang sebagai amaran pada kereta-kereta lain yang cuba memotong ke arah kami. Kereta ditolak sehingga ke stesen minyak dan pemuda-pemuda tersebut lantas beredar selepas bersalaman dengan en suami. Kalau mereka terbaca tulisan aku ini, aku nak ucapkan terimakasih banyak-banyak. Jasa mereka akan sentiasa aku ingat.

Aku duduk bersila di tepi kereta sambil memerhatikan kereta-kereta yang masuk untuk mengisi petrol. Tiada sepatah katapun yang keluar dari mulut aku. Sesekali aku menoleh ke arah en suami yang sedang menelefon seseorang, dari satu panggilan ke satu panggilan. Fikiran aku kosong, hati aku cuma berzikir. Sesekali pula aku mendongak ke langit, mencari apa yang tersirat dan tersurat. Allah ... aku redha dengan apa yang terjadi.

Selepas beberapa panggilan, en suami memberitahu aku yang anak saudaranya, Along, akan datang untuk jump-start kereta. Along berserta isteri, ibu dan adiknya juga dalam perjalanan pulang ke Melaka untuk majlis yang sama. Rumah mereka berdekatan dengan rumah kami. Cuma mereka telah keluar lebih awal dari kami dan berada di Pandan Indah. Mereka mengambil masa hampir satu jam untuk berpatah balik dalam kesesakan jalanraya. Nasib baik juga en suami ada membawa cable untuk jump-start. Selepas jump-start dan enjin dihidupkan, kami pun meneruskan perjalanan meredah kesesakan dengan aircond yang terpaksa ditutup kerana enjin kereta akan mati semula jika aircond dibuka, sementara kereta Along mengekori rapat di belakang kami.

Setibanya kami di Merlimau, mak bapak pengantin masih lagi belum tido. Mereka sedang mengemas sambil menyediakan bahan-bahan untuk sarapan esok. Kami yang kelaparan makan saja apa yang ada sambil bercerita tentang kejadian yang menimpa kami. Sejam kemudian kami meminta diri untuk beredar kerana aku telahpun menempah bilik di Merlimau Inn.

OK aku berhenti dulu. Nanti aku sambung pula cerita dan pengalaman aku yang tak-berapa-nak-seronok di Merlimau Inn.

2 comments:

  1. alahaii...
    nak tahu penyudah nya
    kena tunggu ke..?

    padan lah pagi baru sampai...ekeke

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar itu separuh dari iman, olrascal.
      biar lambat asal selamat ... :)

      Delete

Kalau digumpal sekecil kuku, kalau dibentang selebar alam, walau sebesar biji labu, bumi dan langit ada di dalam ....